Seremban lokasi kedua pasar awam ‘dikawal’ robot’

Seremban lokasi kedua pasar awam ‘dikawal’ robot’

IPOH,. Pasar Awam Seremban di Negeri Sembilan bakal menjadi pasar awam kedua di negara ini yang menerima tiga aplikasi robotik dan dilengkapkan dengan kecerdasan buatan (AI) mulai bulan depan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata Pasar Awam Seremban akan menjadi satu daripada pusat ujian teknologi berkenaan selepas Pasar Ayam Amanjaya, Ipoh yang telah menggunakan robot berkenaan sejak November tahun lepas.

“Kita sedang bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk melaksanakan teknologi sama di pasar lain antaranya di Seremban yang akan turut menjadi satu daripada pusat buat ujian robot ini.

“Penggunaan robot ini mengurangkan kebergantungan kita kepada tenaga buruh asing dan meningkatkan kebersihan dan kecekapan pengurusan di pasar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Aplikasi Robotik Kecerdasan Buatan bersama-sama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zuraida Kamaruddin di Pasar Awam, di Pasar Ayam Amanjaya, di sini semalam.

Mengulas mengenai penggunaan robot berkenaan di Pasar Ayam Amanjaya Ipoh itu, Khairy berkata pengujian dan demostrasi teknologi berkenaan yang melibatkan tiga aplikasi robotik dan satu AI yang dicipta oleh syarikat tempatan itu menjadikan pengurusan pasar berkenaan lebih cekap dan bersih.

“Terdapat empat teknologi terlibat. Yang pertama ialah robot untuk membersihkan lantai, ciptaan Ideasparq Robotics Sdn Bhd dan yang kedua adalah robot untuk mengangkut barang, ciptaan syarikat yang sama.

“Kita juga ada sistem pengurusan sisa iaitu robot pintar untuk mengutip sisa ciptaan Akar Indah Engineering Sdn Bhd dan juga perisian AI yang boleh mengesan pencerobohan dan keselamatan pasar yang dibangunkan oleh ITXOTIC Sdn Bhd,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai peruntukan projek itu, Khairy berkata dua syarikat yang mencipta robot berkenaan (Ideasparq dan Akar Indah) masing-masing telah menerima geran sebanyak RM500,000 daripada Sandbox Inovasi dan Teknologi Nasional (NTIS) untuk terus membangunkan robot berkenaan.

Dalam sidang media yang sama, Zuraida menjelaskan program yang dilancarkan ini bertepatan dengan garis panduan yang dibentangkan KPKT di Kabinet untuk dilaksanakan di semua pasar di seluruh negara agar pembentukan atau pembinaan (pasar) lebih menepati standard yang ditetapkan.

“Aplikasi robotik dan AI di pasar ayam ini merupakan antara teknologi perkongsian pintar KPKT bersama-sama MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi). Alhamdulillah, ciptaan ini berjaya diuji di sini dan ia nampak lebih baik dan bersistematik.

“Saya harap peniaga dan orang ramai dapat menyesuaikan diri dengan norma baharu dan teknologi yang ada ini,” katanya.

Beliau menarik perhatian pihaknya merancang untuk memperkenalkan projek perintis ini di Seremban dan Taiping, selain mengenal pasti pasar-pasar lain yang telah bersiap siaga menerima teknologi tersebut agar pelaksanaannya lebih berkesan.

Jelasnya, antara kriteria pemilihan pasar tersebut adalah ia telah ditambah baik, mempunyai sistem teratur dan tersusun bagi memudahkan pergerakan robot itu.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )