Syed Zainal Abidin dilantik sebagai Pengarah Urusan DNeX

Syed Zainal Abidin dilantik sebagai Pengarah Urusan DNeX

KUALA LUMPUR,. Dagang NeXchange Bhd (DNeX) telah mengumumkan pelantikan Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir sebagai Pengarah Urusan Kumpulannya berkuat kuasa 1 Oktober depan.

Dalam satu kenyataan hari ini, DNex berkata Syed Zainal akan mengambil alih tugas daripada Mohd Azhar Mohd Yusof, yang telah bertindak sebagai Pengarah Urusan Kumpulan sejak 29 Jun tahun ini.

Pengerusi DNeX, Tan Sri Abd Rahman Mamat berkata pelantikan Syed Zainal adalah sebahagian daripada usaha untuk memacu perniagaan kumpulan itu dalam e-perkhidmatan dan tenaga di dalam persekitaran keadaan ekonomi yang berubah-ubah.

“Beliau mempunyai pengalaman luas dalam perusahaan dan syarikat awam dengan rekod prestasi yang cemerlang dalam pelbagai industri dan ini sangat penting untuk memastikan pertumbuhan perniagaan DNeX,” katanya.

Syed Zainal sebelum ini dilantik sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bebas Kumpulan pada 1 Julai 2020.

Beliau juga memegang jawatan penting di syarikat-syarikat terkenal, antaranya Proton Holdings Bhd sebagai Pengarah Urusan Kumpulan, RHB Bank Bhd dan RHB Islamic Bank Bhd sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bebas dan Petronas Dagangan Bhd sebagai Ketua Pejabat Eksekutif dan Pengarah Urusan.

Beliau ketika ini adalah Pengerusi Universiti Teknologi MARA.

Sementara itu, Mohd Azhar akan dilantik semula sebagai Pengarah Eksekutif yang bertanggungjawab terhadap perkhidmatan korporat kumpulan.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )