Syeikh Al-Azhar ucap terima kasih kepada Malaysia atas anugerah Tokoh Maal Hijrah

Syeikh Al-Azhar ucap terima kasih kepada Malaysia atas anugerah Tokoh Maal Hijrah

KUALA LUMPUR,. Syeikh Al-Azhar Al-Syarif, Syeikh Prof Dr Ahmad Tayyib mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia di atas pengurniaan anugerah Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa 2020/1442H, kepadanya kelmarin.

Syeikh Ahmad dalam satu hantaran berbahasa Arab menerusi akaun Facebook rasmi Universiti Al-Azhar semalam, merakamkan penghargaan itu khususnya kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin atas pengurniaan anugerah itu.

Beliau berkata anugerah berkenaan mencerminkan pengiktirafan terhadap kedudukan tinggi Universiti Al-Azhar di mata rakyat Malaysia.

Beliau turut menyatakan akan melakukan lawatan ke Malaysia dalam masa terdekat bagi memenuhi jemputan perdana menteri.

“Anugerah Tokoh Maal Hijrah bagi tahun 2020 ini adalah penghargaan istimewa kepada saya oleh sebuah model negara Islam yang menjadi perintis dalam pembangunan dan keharmonian iaitu Malaysia.

“Anugerah ini pada hakikatnya adalah pengiktirafan kepada institusi Al-Azhar serta para ulama dan pelajarnya. Setinggi penghargaan kepada Raja (Yang di-Pertuan Agong) dan Perdana Menteri Malaysia serta seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Syeikh Ahmad berkata hubungan rapat antara Universiti Al-Azhar dan Malaysia yang terjalin sejak sekian lama sememangnya sangat bersejarah dan telah menyaksikan pelbagai kerjasama dalam segenap bidang termasuk hal ehwal agama, budaya dan ilmiah.

Pada majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2020/1442 Hijrah bertemakan ‘Ummah Rabbani Negara Harmoni’ berlangsung di Masjid Negara, kelmarin, turut menyaksikan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah diumum sebagai Tokoh Maal Hijrah bagi peringkat kebangsaan.

Pengumuman itu dilakukan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Zulkifli berkata pemilihan kedua-dua tokoh tersebut dibuat atas sumbangan besar mereka dalam memartabatkan Islam, di peringat nasional dan global. — Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )