Tahun yang agak sibuk buat Duta Malaysia ke Jepun

Tahun yang agak sibuk buat Duta Malaysia ke Jepun

TOKYO,. Tugas Datuk Kennedy Jawan cukup sibuk dalam tempoh hampir setahun beliau berada di negara ini sebagai Duta Malaysia ke Jepun.

Bulan lepas, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah melawat negara matahari terbit itu atas jemputan kerajaan Jepun bagi menghadiri istiadat pertabalan Maharaja Naruhito di Istana Imperial.

Kennedy memberitahu Bernama bahawa Seri Paduka juga menerima menghadap Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe, mencerminkan hubungan dua hala yang mesra dan akrab antara kedua-dua negara.

Seminggu selepas lawatan itu, Yang di-Pertuan Agong sekali lagi berangkat ke Jepun bagi mengadakan lawatan peribadi yang mana Seri Paduka berkenan merasmikan Pesta Malaysia 2019, yang kedua diadakan di sini yang mana kali ini menyaksikan lebih ramai peserta dari Malaysia dan Jepun.

Bertemakan ‘All About Malaysia’ (Semuanya Tentang Malaysia), pesta itu memaparkan budaya dan masakan unik negara dan mencatatkan kejayaan dengan kehadiran kira-kira 50,000 pengunjung pada acara tiga hari itu yang turut merupakan promosi permulaan bagi Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020).

“Banyak program jangkauan juga telah dilaksanakan bertujuan mempromosikan VM2020,” katanya.

Kennedy berkata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan tiga lawatan ke Jepun sejak Mei lepas antara lain, beliau mengadakan perbincangan dua hala dengan Abe dan menghadiri Persidangan Antarabangsa ke-24 Mengenai Masa Depan Asia yang dianjurkan oleh Nikkei Inc.

Antara isu yang dibincangkan antara kedua-dua pemimpin itu ialah penubuhan kampus cawangan Universiti Tsukuba di Malaysia, kampus cawangan universiti Jepun pertama yang dijangka dibuka tahun hadapan.

Dr Mahathir juga mengadakan pertemuan dengan industri terkemuka seperti Mitsubishi Corporation, Sumitomo Corporation, Sankyu, Roland, Mitsui, Kawasaki Heavy Industries dan NEC.

Perdana Menteri kemudian ke Fukuoka pada Ogos bagi menyampaikan ucap tama pada program Sekolah Pemimpin Masa Depun Jepun (JFLS) dan dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat daripada Universiti Antarabangsa Jepun (IUJ).

Pada September, Dr Mahathir berada di Kyoto untuk menerima satu lagi anugerah Ijazah Doktor Kehormat, kali ini daripada Universiti Doshisha.

Kennedy berkata perdana menteri turut mengadakan pertemuan dengan Presiden Towa Corporation, sebuah syarikat semikonduktor yang merancang untuk meluaskan operasinya di Malaysia dengan nilai pelaburan RM100 juta.

Dr Makio Miyagawa, yang kembali ke Jepun baru-baru ini selepas lebih lima tahun berkhidmat sebagai Duta Jepun ke Malaysia memberitahu Bernama di sini bahawa Dr Mahathir telah melawat Jepun enam kali sejak Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan pada Mei tahun lepas.

Sepanjang tahun lepas, sembilan menteri Kabinet Malaysia, lima Menteri Besar dan Ketua Menteri juga telah mengadakan lawatan rasmi ke Jepun.

Antara misi perniagaan ke Jepun dari Malaysia ialah seminar mengenai Peluang Perniagaan Halal yang diadakan awal bulan ini bagi membantu syarikat Malaysia mewujudkan hubungan dengan rakan kongsi luar negara yang berpotensi.

“Misi Peningkatan Ekspot (EA) adalah satu daripada program yang dikenal pasti untuk menggalak dan mempromosikan eksport produk dan perkhidmatan halal Malaysia ke Jepun di bawah inisiatif Rantaian Nilai Halal Perdagangan Digital untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020,” katanya.

Kennedy juga mengadakan beberapa siri libat urus dengan syarikat Jepun bertujuan meningkatkan perdagangan dan pelaburan di Malaysia yang mana mereka adalah antara pelabur terbesar.

“Saya berterima kasih atas nasihat dan sokongan daripada ibu pejabat khususnya daripada Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Ketua Setiausaha Datuk Seri Muhammad Sharul Akram Yaakob,” kata Kennedy.

— BERNAMA

[Eksklusif] Daripada Azman Ujang

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )