Thomas Cook: Britain, UK CAA rancang penghantaran pulang terbesar dalam sejarah pada masa aman

Thomas Cook: Britain, UK CAA rancang penghantaran pulang terbesar dalam sejarah pada masa aman

KUALA LUMPUR,. Kerajaan United Kingdom dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (UK CAA) pada Isnin mengumumkan pelan mereka untuk membawa pulang lebih 150,000 pelanggan Thomas Cook secara percuma dan menyifatkannya sebagai “penghantaran pulang terbesar dalam sejarah UK pada masa aman.”

Dalam satu kenyataan, ia menyebut bahawa berpuluh-puluh pesawat yang disewa khas bagi tujuan itu bakal memulakan operasi pada Isnin selepas syarikat pelancongan terkemuka itu muflis setelah 178 tahun menjalankan perniagaan.

“Bagi penerbangan pulang ke UK, tidak menjadi masalah sama ada pelanggan dilindungi ATOL atau tidak, atau apa kerakyatan mereka.

“Setiap orang yang bercuti menggunakan khidmat Thomas Cook dengan tiket penerbangan pulang ke UK dalam tempoh dua minggu akan dibawa pulang,” kata kerajaan UK dalam notis akhbar yang dikeluarkan kepada Bernama oleh Suruhanjaya Tinggi Britain di sini.

Semua butiran setiap penerbangan akan dimuat naik di laman sesawang khas thomascook.caa.co.uk sebaik sahaja ia tersedia.

Bagaimanapun, sebilangan kecil penumpang mungkin perlu menempah penerbangan pulang sendiri dan menuntut semula kos itu, katanya.

“Di bawah situasi biasa, penumpang yang tidak dilindungi ATOL akan diminta mencari dan membayar untuk perjalanan pulang mereka. Bagaimanapun, memandangkan keseriusan keadaan, kerajaan memutuskan untuk membantu penumpang yang terjejas dan membawa mereka pulang,” katanya.

Pelanggan yang terjejas dinasihati agar tidak memendekkan cuti mereka atau pergi ke lapangan terbang tanpa terlebih dahulu memeriksa laman sesawang terbabit untuk mendapatkan maklumat berkaitan perjalanan pulang masing-masing kerana kerajaan dan pihak UK CAA ingin menerbangkan mereka sehampir mungkin dengan tarikh kepulangan yang telah ditempah.

UK CAA turut menghubungi hotel penginapan pelanggan Thomas Cook yang menempahnya sebagai sebahagian daripada pakej untuk memaklumkan bahawa kos penginapan mereka akan ditanggung oleh kerajaan menerusi liputan perlindungan Air Travel Trust Fund atau ATOL, katanya.

Operasi itu, yang digelar Operation Matterhorn, hanya diperuntuk kepada penumpang yang dijadualkan kembali ke UK dalam tempoh dua minggu akan datang.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )