Tiada perbincangan tingkat jumlah pasukan Liga Super, format kekal – FAM

Tiada perbincangan tingkat jumlah pasukan Liga Super, format kekal – FAM

KUALA LUMPUR,. Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyatakan bahawa pihaknya tidak pernah membincangkan secara rasmi atau tidak rasmi untuk meningkatkan jumlah pasukan bertanding di Liga Super.

Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam berkata isu meningkatkan jumlah penyertaan pasukan dalam divisyen pertama Liga Malaysia (Liga-M) daripada 12 ke 16 pasukan, tidak pernah dibincangkan langsung oleh beliau atau Presidennya Datuk Hamidin Mohd Amin dengan mana-mana pihak.

“FAM ingin memaklumkan bahawa segala keputusan atau ketetapan bagi jumlah pasukan yang beraksi pada saingan Liga-M, serta penentuan jumlah pasukan yang turun dan naik liga berkenaan adalah sepenuhnya di bawah bidang kuasa Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan ahli-ahli lembaga pengarahnya,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.

Terdahulu, tular satu klip video bahawa ada pihak mendakwa telah berbincang dengan Hamidin dan Stuart, yang bakal menjadi Ketua Pegawai Eksekutif MFL bermula 1 Sept, bahawa jumlah pasukan bertanding di Liga Super akan ditingkatkan.

Sementara itu, Presiden MFL Datuk Ab Ghani Hassan mengesahkan bahawa format kenaikan dan penyingkiran Liga-M bagi musim 2021/2022 masih kekal seperti sedia ada.

“Format Liga Super 2021 akan kekal di mana sebanyak 12 pasukan dalam satu pertandingan dan dua pasukan tercorot akan tersingkir ke saingan Liga Premier pada tahun 2022.

Sementara juara dan naib juara Liga Premier 2021 pula akan bermain dalam kempen Liga Super 2022 seperti mana yang termaktub di dalam Manual Liga Malaysia edisi 2021 bagi format Liga Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan berasingan.

— Bernama

TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )