Tiga selamat, empat hilang dalam dua insiden bot karam

Tiga selamat, empat hilang dalam dua insiden bot karam

SHAH ALAM,. Tiga selamat manakala empat lagi hilang dalam dua kejadian berasingan melibatkan bot karam di perairan Selangor, kelmarin.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor Kapten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata Pusat Operasi Maritim Selangor menerima maklumat satu bot nelayan tempatan Kelas C karam akibat dipukul ribut kira-kira jam 4 petang.

Katanya, kejadian itu dilaporkan berlaku di kedudukan 23.08 batu nautika muara Kuala Selangor oleh Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Johor Bahru yang mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat.

“Difahamkan, terdapat lima kru termasuk tekong berada di atas bot terbabit, namun hanya dua kru sahaja sempat diselamatkan.

“Kesemua mereka adalah warga Indonesia berumur dalam lingkungan 20 hingga 50 tahun,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Supt Ramli Kasa berkata mangsa yang masih hilang adalah tekong dikenali sebagai Darwis dan dua awak-awak bernama Dian dan Patli yang berusia antara 20 hingga 40 tahun.

Dalam satu lagi insiden bot fiber karam, Mohammad Rosli berkata kejadian berlaku pada kedudukan kira-kira 2.9 batu nautika di perairan Tanjung Sepat, Sepang, pada jam 5.25 petang.

Katanya, bot yang dikemudi oleh seorang lelaki warga tempatan Abdul Rahman Mat Kasim, 66, dan anaknya Mohd Farizal, 40, karam disebabkan cuaca buruk.

Mohammad Rosli berkata Mohd Farizal diselamatkan oleh bot nelayan berhampiran manakala ayahnya telah hilang bersama bot.

“Mangsa dan bapanya keluar ke laut pada 7 pagi untuk mencari udang. Abdul Rahman kali terakhir dilihat memakai kemeja-T dan seluar berwarna hitam,” katanya.

Mohammad Rosli berkata pencarian dilakukan dengan keluasan 50 batu nautika persegi melibatkan aset Pasukan Polis Marin, Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )