Tumpu kepada pengurusan plastik berbanding larangan – Persatuan

KUALA LUMPUR,. Malaysia perlu memberi tumpuan kepada kaedah pengurusan plastik yang lebih lestari dan bukannya melarang pengeluaran dan penggunaannya, menurut Persatuan Pekilang Plastik Malaysia (MPMA) dan Persatuan Pengitar Semula Plastik Malaysia (MPRA).

MPMA dan MPRA dalam kenyataan memberitahu, untuk melupuskan semua jenis plastik daripada kehidupan seharian rakyat Malaysia adalah sesuatu yang tidak lestari dan larangan sepenuhnya adalah tidak praktikal.

Persatuan berkenaan menjelaskan, jalan penyelesaiannya adalah membangunkan ekonomi pekeliling yang mengguna semula berbanding membuang material dan ini boleh dilakukan menerusi pembangunan sistem pengurusan sisa yang lebih komprehensif, bukan sahaja di dalam negara tetapi di seluruh dunia.

“Dengan penyelesaian dan dasar pengurusan sisa yang lebih baik, bahan plastik akan dihasilkan semula untuk dikitar semula atau dilupuskan dengan teratur dan tidak berakhir di persekitaran,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memberitahu, plastik digunakan dengan meluas di banyak sektor termasuk automotif, elektrik dan elektronik, pembinaan, perubatan, pembungkusan dan lain-lain serta penggunaan bahan alternatif terhad kepada beberapa produk khusus.

Menurut kenyataan itu, MPMA dan MPRA berpegang teguh kepada prinsip bahawa plastik tidak tergolong dalam persekitaran dan ia harus dengan bertanggungjawab, digunakan semula dan dikitar semula.

Tanpa sektor kitar semula, Malaysia tidak akan dapat berkembang menjadi ekonomi yang mampan dan mewujudkan nilai baharu untuk memberi manfaat kepada masyarakat dan alam sekitar, tambahnya.

Kenyataan itu memaklumkan pengitar semula berlesen telah mematuhi 18 peraturan dan undang-undang ketat dan kilang-kilang berkaitan turut dipantau dan memerlukan kelulusan daripada pelbagai agensi termasuk Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara.

Menurutnya, pengitar semula yang sah tidak mengimport atau menggunakan ‘sampah plastik’ tetapi menggunakan bahan yang boleh dikitar semula yang bersih dan homogen seperti yang diklasifikasikan di bawah Konvensyen Basel, contohnya sisa industri daripada pembuatan bampar kereta.

Bahan ini kemudian diubah menjadi pelet plastik kitar semula yang akan digunakan untuk membuat produk lain, menurut kenyataan itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )