Unisel benarkan pelajar sedia ada berada dalam kampus, tangguh aktiviti bersemuka

Unisel benarkan pelajar sedia ada berada dalam kampus, tangguh aktiviti bersemuka

SHAH ALAM, 5 Okt — Universiti Selangor (Unisel) membenarkan pelajarnya kekal berada di kampus bagi mengikuti aktiviti akademik sehingga peperiksaan akhir pengambilan semester sesi Julai/Ogos 2020 tamat.

Presiden merangkap Naib Canselor Unisel, Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata kebenaran itu melibatkan khususnya pelajar yang telah berada dalam kampus dan sedang mengikuti aktiviti akademik.

“Namun, universiti membenarkan pelajar yang ingin pulang ke rumah masing-masing tetapi tidak dibenarkan kembali semula ke kampus sehingga dimaklumkan. Ia sebagai langkah universiti mengawal penularan pandemik COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi pelajar yang tinggal di luar kampus pula, Mohammad Redzuan berkata mereka termasuk yang berada di Kampus Shah Alam diminta menangguhkan pertemuan secara bersemuka dan meneruskan sesi pembelajaran secara dalam talian sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Selain itu, beliau turut meminta semua kakitangan dan pelajar menangguhkan sementara semua aktiviti secara berkumpulan dalam masa terdekat ini.

“Pengurusan Unisel akan terus memperketatkan lagi kawalan di semua pintu masuk universiti iaitu bagi Kampus Shah Alam dan Bestari Jaya mengikut prosedur operasi standard yang telah ditetapkan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )