Urus niaga Bursa Malaysia dibuka rendah

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia meneruskan dagangan lemah minggu lepas untuk dibuka rendah hari ini dengan urus niaga lebih kepada indeks perkhidmatan kewangan.

Pada pukul 9.12 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) jatuh 6.25 mata atau 0.39 peratus kepada 1,597.50 daripada 1,603.75 ketika ditutup Khamis lepas.

Indeks utama dibuka 8.74 mata lebih rendah pada 1,595.01.

Bagaimanapun, pergerakan pasaran masih lagi positif dengan kaunter untung mengatasi rugi 338 berbalas 246, manakala 298 kaunter tidak berubah, 1,073 tidak diniagakan dan 23 lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 978.91 juta saham bernilai RM625.05 juta.

Pasaran ditutup pada hari Jumaat sempena cuti sambutan perayaan Hari Raya Aidiladha.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata sentimen pasaran dilanda ketidakstabilan baharu dengan para pelabur, masing-masing pantas melepas pegangan selepas situasi politik Malaysia sekali lagi berkocak dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah.

“Kami menjangkakan situasi tidak menentu ini kekal dengan para pelabur menantikan pengumuman beberapa keputusan kewangan korporat menjelang akhir bulan yang telah mengambil kira kesan sepenuhnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Memandangkan saham berkaitan penjagaan kesihatan dijangka terus berada di barisan hadapan, kami melihat sektor teknologi bergerak seiring dengan Nasdaq menuju ke paras tinggi sepanjang masa. Sektor perladangan mungkin perlu dipandang semula kerana harga minyak sawit mentah (MSM) telah stabil,” katanya dalam nota penyelidikan.

Secara teknikalnya, firma broker itu berkata FBM KLCI kemungkinan menyaksikan paras stabil mengambil tempat dengan 1,615 sebagai halangan segera, diikuti 1,630. Paras sokongan pula antara 1,585, diikuti dengan 1,560.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, saham perbankan Maybank turun sembilan sen kepada RM7.58 dan Public Bank lega 40 sen kepada RM16.60.

Top Glove menambah 42 sen kepada RM26.30, Hartalega meningkat 82 sen kepada RM21.10, manakal Tenaga jatuh 10 sen kepada RM11.34.

Saham-saham paling cergas pula, Hubline menokok setengah sen kepada sembilan sen, Notion mengembang 11 sen kepada 92.5 sen sementara XOX jatuh setengah sen kepada 25.5 sen.

Saham yang mencatatkan kerugian pula didahului oleh Nestle yang berkurangan RM1.30 kepada RM140.70, Vitrox lega 56 sen kepada kepada RM11.72.

Sementaraq itu, saham-saham paling untung, MPI mengukuh 98 sen kepada RM14.18, diikuti dengan Hartalega dan Kossan, masing-masing melambung 54 sen kepada RM18.14.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 18.19 mata kepada 11,395.73, Indeks FBM Emas Shariah lebih tinggi 47.85 mata kepada 13,487.38 tetapi Indeks FBMT 100 susut 22.43 mata kepada 11,231.64.

Indeks FBM 70 mengembang 57.29 mata kepada 14,552.87 dan FBM ACE melonjak 166.12 mata kepada 8,701.00.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 0.40 mata kepada 140.73, Indeks Perkhidmatan Kewangan rugi 145.87 mata kepada 13,019.64 dan Indeks Perladangan lemah 59.16 mata kepada 7,088.35.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )