Wang RM2 juta diterima Ku Nan untuk kegunaan sendiri – Pendakwaan

KUALA LUMPUR, 23 Sept — Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa wang RM2 juta yang diterima oleh Datuk Seri Tengku Adnan daripada Pengarah Urusan Syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) Tan Sri Chai Kin Kong ialah untuk kegunaan bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu sendiri.

Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim berkata fakta yang gagal disangkal oleh Tengku Adnan ialah wang RM2 juta itu dimasukkan ke dalam akaun CIMB milik syarikat Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang mana tertuduh mengesahkan beliau mempunyai kepentingan dan merupakan pemegang saham terbesar syarikat berkenaan.

“Tiada aliran wang daripada akaun tersebut kepada UMNO atau kegiatan UMNO. Tertuduh telah memberi keterangan bahawa beliau telah membuat perisytiharan harta bagi 2001, 2006, 2013 dan 2016 yang mana harta yang diisytiharkan berjumlah antara RM600 juta hingga RM900 juta.

“Sebagai ahli perniagaan dengan jumlah harta yang banyak, wang RM2 juta itu adalah sesuatu yang tidak berharga bagi tertuduh dan hanyalah ‘duit poket’ sahaja,” katanya ketika berhujah di akhir kes pembelaan membabitkan Tengku Adnan.

Julia berhujah pembelaan tertuduh bahawa wang itu digunakan untuk sumbangan politik bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar, tindakan tersebut secara langsung memberi faedah dan kepentingan tertuduh selaku Ketua UMNO Wilayah Persekutuan.

“Wang tersebut sepatutnya diserahkan terus kepada UMNO sama ada dalam bentuk cek ke akaun UMNO ataupun secara tunai dan bukannya diserahkan kepada akaun syarikat tertuduh.

“Pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan terdapat kemasukan wang RM2 juta ke dalam akaun THSB dan tiada pengeluaran wang daripada akaun THSB kepada akaun UMNO. Tertuduh juga mengesahkan keputusan membuat ‘refund’ daripada RM2 juta itu adalah keputusannya sendiri tanpa melalui pucuk pimpinan parti.

“Jelas dalam kes ini, tertuduh tidak melalui saluran yang betul untuk menerima sumbangan politik daripada Chai, maka dakwaan tertuduh bahawa wang tersebut digunakan untuk PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar dengan tiada keterangan sokongan yang berwibawa tidak boleh dipercayai,” katanya.

Julia berhujah tiada sebarang keterangan menunjukkan sumber wang tunai yang diberikan kepada saksi pembelaan kedua (SD2) iaitu bekas Setiausaha Politik Tengku Adnan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan dan Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam Datuk Zakaria Dullah (SD4) dan aliran wang dari THSB kepada sumber wang tunai itu sebagai ‘refund’.

“Oleh itu, ‘money trail’ RM2 juta tersebut masih kekal dalam akaun THSB dan untuk kegunaan THSB (tertuduh) sahaja,” katanya yang turut memaklumkan tiada keterangan daripada tertuduh atau saksi-saksinya bahawa terdapat aliran wang berkenaan dari akaun THSB kepada mana-mana pihak UMNO atau bekas pengarah jentera PRK Sungai Besar Datuk Rizalman Mokhtar (SD3).

Julia berhujah pembelaan tertuduh berkenaan isu resit rasmi UMNO berhubung sumbangan RM2 juta adalah satu pembelaan difikirkan kemudian.

“Ketiadaan salinan pendua atau ketidakseragaman tarikh-tarikh antara nombor siri di buku resit sebelum dan selepas resit berkenaan menunjukkan kewujudan resit rasmi adalah rekaan tertuduh semata-mata,” katanya.

Julia berkata alasan tertuduh bahawa beliau tidak ingat siapa yang menulis resit tidak dapat diterima oleh pendakwaan kerana individu tersebut haruslah individu yang mempunyai akses kepada pejabat dan resit-resit itu sama ada di peringkat Ibu Pejabat UMNO atau UMNO Bahagian Wilayah Persekutuan.

“Adalah dihujahkan bahawa individu penulis resit ini menjadi lebih penting kepada pembelaan tertuduh kerana beliau menyatakan bahawa apabila resit daripada buku resit digunakan oleh UMNO Wilayah Persekutuan, kesemua tiga salinan resit dikoyakkan daripada buku resit berkenaan.

“Individu itu penting untuk mengesahkan dakwaan tertuduh memandangkan alasan itu hanya berbangkit dalam keterangan tertuduh sahaja. Ini menjadikan penjelasan tertuduh hanya ‘afterthought’ dan tidak boleh dipertimbangkan oleh mahkamah,” katanya.

Tengku Adnan, 69, juga dikenali sebagai Ku Nan, didakwa dalam kapasitinya sebagai penjawat awam, iaitu Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, menerima suapan untuk dirinya sendiri sebanyak RM2 juta daripada Chai menerusi cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang kemudian dideposit ke dalam akaun CIMB Bank Tadmansori Holdings Sdn Bhd, yang beliau mempunyai kepentingan, sedangkan diketahui bahawa Aset Kayamas mempunyai hubungan dengan tugas rasmi beliau.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad cawangan Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun 2016 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada 14 Okt tahun lepas, Mahkamah Tinggi mengarahkan Tengku Adnan membela diri selepas memutuskan bahawa pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadapnya dalam kes itu.

Selepas kedua-dua pihak selesai berhujah, Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan 17 Nov untuk keputusan.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )