Wisma PERKESO Seremban dibuka semula

Wisma PERKESO Seremban dibuka semula

SEREMBAN,. Wisma Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Seremban dibuka semula hari ini selepas ditutup sejak semalam, bagi menjalankan kerja sanitasi bangunan itu susulan seorang petugas di premis berkenaan didapati positif COVID-19.

Pengarah PERKESO Negeri Sembilan Fuad Alias berkata, orang ramai diminta supaya tidak bimbang kerana anggota Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKPP) Negeri Sembilan yang berkhidmat di wisma PERKESO Seremban itu, didapati positif COVID-19 sewaktu pulang ke kampung halamannya di Labuan.

“Petugas itu pulang menaiki kapal terbang ke kampung halamannya di Labuan pada Jumaat lepas. Saya difahamkan beliau diarahkan menjalani ujian saringan oleh Kementerian Kesihatan, setelah mengenal pasti salah seorang penumpang dalam kapal terbang terbabit disahkan positif COVID-19.

“Ujian saringan menunjukkan beliau positif COVID-19 di sana dan kini staf JKPP berkenaan masih berada di Labuan menjalani rawatan susulan di hospital,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Fuad berkata, 12 kontak rapat telah dikenal pasti dan mereka diarahkan untuk melakukan kuarantin kendiri di rumah, termasuk enam orang yang sudah menjalani ujian calitan tetapi masih menunggu keputusan.

Beliau berkata pelanggan PERKESO diminta supaya tidak bimbang, kerana premis sudah disanitasi dan ia selamat dibuka kepada orang awam.

“Premis ini juga menerapkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat kepada pelanggan yang ingin berurusan di sini, selain memastikan penjarakan fizikal,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )